Tuk..tuk..tuk!!
“Masuk!” Arah Amirah dari dalam tanpa mengangkat muka
walaupun sekejap. Tangannya sibuk melarikan pen di atas kertas.
“Cik Mira, ada kiriman bunga.”
Amirah pantas mengangkatkan kepala. Kiriman bunga lagi?
Masuk hari ini sudah seminggu dia menerima kiriman sebegitu. Jenis bunga yang
sama. Dan jumlah kuntuman bunga yang sama. Dua puluh lima kuntum mawar
semuanya. Yang membezakan adalah ucapan pada kad yang diselitkan. Apa pula kali
ini agaknya.
Dia hanya mengisyaratkan agar pembantunya meletakkan
bunga itu di atas meja.
“Thanks, Yati.”
Matanya tunak memandang jambangan bunga yang telah
diletakkan. Dia mengeluh perlahan. Dia yakin ia dari orang yang sama.
Pembantunya juga telah diberi amanah untuk menerima kiriman itu tanpa melihat
isi kad yang terselit di dalamnya. Kakitangan lain tidak dibernarkan! Dia yakin
mereka yang lain tidak akan kuat untuk memegang amanah yang telah diberikan.
Tambahan pula dalam keadaan gosip yang menimpa dirinya sekarang.
Heboh dalam pejabat mengatakan jambang bunga itu adalah
dari Faris. Sikap lelaki itu pula mendiamkan diri apabila ditanya menguatkan
mulut mereka berkata-kata.
Sepanjang seminggu dia menerima kiriman ini, dia dapat
melihat perubahan sikap Faris. Lelaki itu seperti tidak mesra seperti dahulu.
Lelaki itu juga sering menolak untuk makan tengahari bersama. Katanya masih
kenyang. Mereka yang tidak mahu terus bertanya hanya menerima alasan yang
diberikan.
Amirah mengeluh perlahan. Jambangan bunga menjadi
santapan matanya sekali lagi. Kad kecil yang dihiasai reben merah ditarik
perlahan. Dia mengerutkan dahi. Kata-kata pada kad itu tidak seperti biasa.
Bukan kata-kata sebenarnya. Ia lebih kepada ajakan!
Sayang..
Sudi tak
lunch dengan abang hari ni?
Regards
Your
beloved husband.
Perasannya!! Amirah mengomel di dalam hati. Your beloved husband, konon!
Pelik pula apabila dia memikirkan ajakan Hakim ini.
Adakah ini termasuk dalam agenda Hakim untuk memujuknya kembali? Ahh, pusingnya
apabila diasak sebegini. Tidak bolehkah Hakim membiarkannya hidup tenang tanpa
gangguan. Lelaki itukan sudah punya pengganti. Kenapa masih lagi memburunya?
Telefon bimbitnya tiba-tiba sahaja berbunyi nyaring.
Menandakan ada SMS yang perlu segera dibaca kerana dia yakin pesanan itu adalah
dari suaminya. Memang itu adalah kebiasaan buat Hakim. Selepas kiriman lelaki
itu diterima, pasti akan disusuli oleh pesanan SMS atau panggilan telefon.
Abg harap syg
sudi..
Amirah mengeluh lagi. Jawapan apa yang patut dia berikan.
Haruskah dia bersetuju? Ataupun memandang sepi ajakan itu. Entah mengapa dia
mahu menimbangkan pelawaan itu. Sedangkan dia sepatutnya menolak sahaja.
Bukankah dia membenci suaminya? Huh..pusing!
Lalu, untuk tidak menambahkan pusing di kepala Amirah
mencapai pen semula dan meneruskan kerjanya seperti biasa. Biarlah! Fahamlah
agaknya Hakim, jika tidak membalas pesanan itu. Hendak menolak secara terus
terasa tidak sampai hati pula. Lebih baik dia berdiam diri begini.
“Mira dah pukul 1 la. Jom lunch. Perut aku dah lapar
sangat dah ni.” Marissa menjengul di muka pintu.
Pantas Amirah melirik jam dinding di dalam biliknya ini.
Ya Allah! Dah sampai masa makan tengahari! Cepatnya! Terasa tidak sedar masa
yang berlalu.
“Okay,” balas
Amirah sambil mematikan monitor dan mencapai dompet serta telefon bimbitnya.
Tidak lupa juga laci meja kerjanya dikunci rapat. Bimbang juga ada yang panjang
tangan.
Kes seumpama itu pernah terjadi di pejabat ini suatu
ketika dahulu. Sehingga ke hari ini si pencuri tidak dapat dijejaki. Sedangkan
si mangsa sudah separuh nanar kehilangan wang dan harta benda.
Terasa seperti tidak percaya. Kecurian bisa juga berlaku
dalam persekitaran orangnya sudah cukup dewasa. Sudah layak menjadi ibu bapa.
Tetapi masih lagi melakukan kerja seperti kanak-kanak tadika yang kempunan mahu
membeli gula-gula.
“Jom!” Ajak Amirah kepada kedua orang temannya yang
sedang menanti di luar pejabat. Siapa lagi kalau bukan Marissa dan Alwi. Teman
rasminya ketika makan tengahari. Tetapi keahlian mereka tidak seperti biasa dek
kerana Faris jarang menyertai mereka selama seminggu ini. Entah apa yang tidak
kena, dia sendiri tidak tahu.
“Faris tak join kita lagi ke hari ni?” Tanya Amirah
kepada temannya itu.
Mereka berdua hanya menggelengkan kepala sebagai tanda
jawapan.
“Kenapa? Banyak kerja?” Tanya Amirah lagi.
“Katanya kenyang lagi,” balas Alwi.
“Kenyang? Dia kan tak sarapan pagi tadi?”
Alwi hanya mengjungkitkan bahu. Dia sendiri berasa hairan
dengan perubahan temannya itu. Tidak pernah dia melihat Faris semurung itu. Dia
kerap melihat Faris termenung jauh. Lagaknya seperti menghadapi masalah negara.
Kerjanya juga banyak bertangguh. Nasib baik jugalah dia bos. Kalau tidak sudah
lama Faris akan didatangi surat ‘cinta’ dari Bahagian Sumber Manusia.
Bukan dia tidak pernah bertanya. Tapi lelaki itu hanya
mengatakan dia tidak cukup rehat dan penat. Sedangkan bagi Alwi pula, alasan
yang diberikan temannya itu tidak bisa diterima sama sekali. Setiap hari dia
melihat lelaki itu hanya termenung di meja. Kerja apa sangatlah dilakukan? Dan
dari mana datangnya penat? Penat termenung, mungkin!
Lagipun dia kenal Faris. Hidupnya sudah biasa bergelumang
dengan kerja. Tidak pernah lelaki itu merungut penat dan tidak cukup rehat
walaupun terpaksa menyudahkan kerja di rumah.
“Tak apalah. Mungkin betullah tu dia kenyang. Jomlah,”
ajak Amirah. Tidak mahu terus memanjangkan soal Faris. Mungkin bisa disambung
ketika makan nanti. Masa makan tengahari cuma satu jam. Mereka perlu
memanfaatkan masa yang ada.
“Mira!!”
Amirah pantas berpaling sebaik sahaja terdengar namanya
dilaungkan. Begitu juga Marissa dan Alwi. Melinggas mata masing-masing mencari
si pemanggil.
Tergamam dia buat seketika apabila berjaya mengesan di
pemanggil. Lelaki itu kelihatan mengatur langkah bergaya mendapatkan dirinya.
Memang dia akui lelaki ini mempunyai pesona yang tinggi. Sebab itulah dia
mempunyai dua isteri.
“Mira, abang dah lama tunggu Mira kat sini. Kenapa tak
balas SMS abang?”
Hakim terus sahaja bertanya sebaik sahaja tubuh sasanya
berada berhadapan dengan Amirah. Sempat juga dia menghulurkan senyuman buat
Marissa. Tetapi dia tidak berniat mahu berbuat perkara yang sama dengan lelaki
yang sedang mendampingi isterinya kala ini. Cemburu? Ya, dia memang cemburu.
Walaupun saat ini mereka bertiga! Baginya lelaki mana pun jua yang cuba
mendekati Amirah adalah pesaingnya. Dia perlu menjadi lebih berhati-hati. Walaupun
hakikatnya dia sangat mengenali Alwi.
Tidak tertelan air liur Amirah mendengar pertanyaan
Hakim. Sempat dijeling Alwi. Ternyata lelaki
itu bingung. Apatah lagi Hakim membahasakan dirinya ‘abang’. Menjelaskan ada
hubungan penting antara dua insan ini.
Dalam hati dia mengutuk diri kerana terlupa tentang
ajakan suaminya ini. Sepatutnya dia lebih berhati-hati memandangkan Hakim sudah
menjadi seorang lelaki yang tidak mudah dijangka tingkahnya. Bila-bila masa sahaja boleh berubah angin!
“Sorry, Mira
terlupa.” Hanya itu yang mampu dibalas.
Hakim tersenyum senang. Bicara Amirah yang sopan amat
dihargai.
“Tak apa. Jom..abang belanja sayang makan.”
Erk? Sayang? Makin bertambah kerutan di dahi Alwi. Dia
memandang Amirah dan Hakim silih berganti sebelum matanya tunak memandang
Marissa. Dia mengharapkan jawapan dari temannya itu kerana Marissa dilihat
sangat tenang menerima situasi ini. Tidak bekerut dahi seperti dirinya.
“Erk, hi Hakim?” Alwi tiba-tiba mencelah di tengah-tengah
perbualan Hakim dan Amirah. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman. Macam tidak
adil pula mereka semua menjadikannya seperti tunggul sahaja.
Hakim menyambut huluran itu dengan wajah tanpa riak.
Terselit rasa bersalah kerana tidak menegur rakan niaganya ini. Cemburu punya
pasal!
“Hi, you all nak pergi lunch ke?” Hakim sekadar
berbasa-basi.
Alwi menganggukkan kepala. “Tadi memang nak pergi lunch.
Tapi since you buat special appearance kat sini, tergendala sekejap la.” Sempat
lagi lelaki itu berlelucon.
Hakim tersenyum mendengar kata-kata Alwi itu. Sedar dia
telah membuatkan mereka semua melengahkan masa makan tengahari yang ketika
sudah pun berlalu 10 minit.
“Sorry I cuma nak ajak Mira lunch sama. Dia tak jawab SMS
I, sebab tu I ke sini,” terang Hakim.
“Ohh..tapi boleh I tahu apa hubungan kau orang berdua?
Selama ni tak pernah pun I nak kau orang bertegur sapa dekat office. Tak tahu
pula kau orang berdua saling kenal.”
“Masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Lagipun I rasa
tak elok kalau I mengganggu akauntan you ni. Tak fasal-fasal terlewat tutup
akaun pula setiap bulan,” jelas Hakim tanpa memberitahu hal yang sebenar.
Amirah sudah menarik nafas lega. Mati-mati tadi dia
berfikir yang Hakim akan membocorkan rahsia mereka berdua. Jika itu terjadi,
tidak tahulah apa kata Alwi buat dirinya nanti.
Dalam rasa kelegaan itu sempat juga isyarat mata
diberikan kepada Marissa supaya membantunya keluar dari situasi ini kerana dia
melihat Alwi seperti tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Hakim.
“Er Alwi. Apa kata kita gerak sekarang. Dah pukul berapa
ni. Nanti lewat pula masuk office,” ujar Marissa selepas memahami isyarat yang
diberikan.
Alwi melihat jam di tangan. Dia bersetuju dengan
kata-kata Marissa itu. Walaupun tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberikan Hakim, tapi mereka masih mempunyai banyak masa untuk membincangkan
tentang hal itu.
“Okaylah, kalau macam tu nanti kita jumpa lagi. Time is running out. We need to go.”
Alwi memutuskan untuk berlalu akhirnya. Sekali lagi dia menghulurkan tangan
untuk berjabat salam sebelum mereka meninggalkan pasangan itu.
Hakim menjeling Amirah di sisi yang hanya mendiamkan diri
sepanjang perjalanan mereka ke restoran yang telah dipilihnya untuk
menghabiskan masa tengahari bersama isteri tercinta. Dia mengharapkan Amirah
akan menyukainya.
“Sayang?”
Tersentak Amirah yang ketika itu begitu asyik menikmati
pemandangan di luar walaupun tidak ada yang menarik untuk tontonan matanya. Lebih
senang begitu daripada melayani Hakim yang sangat menyakitkan hati.
Bukan panggilan sayang itu yang menyentakkan hatinya.
Tetapi genggaman jemari Hakim di atas belakang tangannya terasa menjengkelkan.
Sentuhan itu terlalu asing buat dirinya setelah 8 bulan terpisah. Pantas dia
mengalihkan tangannya.
Tetapi tindakannya telah menyebabkan telapak tangan Hakim
jatuh di atas pehanya pula. Sebagai seorang suami yang sudah lama tidak
menyentuh isteri, Hakim tidak melepaskan peluang. Dia langsung tidak
mengalihkan tangannya. Malah peha Amirah dicengkam dan diusap lembut.
Terlopong Amirah dengan tindakan berani Hakim. Hati yang
terbakar semakin membara. Senyuman nakal
suaminya itu makin menambahkan maraknya api dalam dada. Pantas tangan Hakim
yang masih mencengkam pehanya ditepis kasar. Wajah garang ditayangkan.
Menunjukkan betapa dia tidak menyukai kelakuan nakal Hakim itu.
“Jangan nak menggatal pula kat sini!” Tempelak Amirah dengan suara yang
tertahan-tahan.
“Tak salahkan? Abang menggatal bukan dengan orang lain
pun, dengan isteri abang sendiri,” balas Hakim dengan lancar. Masih disulami
senyuman nakalnya.
Dia tahu Amirah marah. Tapi itu lebih baik daripada
wanita itu hanya diam membisu. Dia lebih suka Amirah begini.
“Tapi Mira tak suka!!” Tegas Amirah lagi.
“Dulu suka je!”
Amirah mengetap bibir. Ada saja jawabnya!
“Itu dulu!”
Hakim menjeling lagi isterinya. “Jadi sekarang dah tak
sukalah?”
Amirah mendengus kasar. Geram kerana Hakim masih
bertanyakan soalan yang sedari awal lagi telah ditegaskan olehnya. Dia sememangnya
tidak suka dengan perlakuan nakal Hakim itu. Walaupun suatu ketika dahulu aksi
sebegitu sangat biasa antara mereka. Malah lebih mesra dari itu pun pernah.
Kalau tidak dari mana datangnya Nasuha? Tetapi perpisahan telah membuatkan
mereka seperti orang asing.
Malas mahu bertelegah, Amirah kembali mendiamkan diri.
Kalau buka mulut ada sahaja mahu dibahaskan. Namun dia sedar, perperangan mulut
itu berpunca dari dirinya. Dek kerana sakit hati, lidahnya sering sahaja
mengungkit kelukaan lalu. Dia sedar Hakim berusaha memujuk hatinya. Bicara
lelaki itu sentiasa sopan melayani kerenahnya.
Suaminya itu tidak langsung berubah. Dulu, kini dan
selamanya. Hakim tetap Hakim. Cuma sikap lelaki itu berubah selepas mendirikan
rumahtangga buat kali kedua. Dia bukan menjadi perengus dan pemarah. Bicara
lelaki itu tetap lembut memujuk. Namun lebih kepada memujuk supaya dia merestui
nasib diri yang telah dimadukan.
Tapi Hakim lupa, semua itu belum cukup! Amirah cuma minta
Hakim berlaku adil! Tidak banyak yang dia pinta. Tapi kenapa itu pun susah
lelaki itu mahu tunaikan?
Faris melemparkan pandangan ke bawah. Menikmati gelagat
manusia dari aras pejabatnya. Minuman nescafe yang disediakan sendiri sebentar
tadi dihirup sedikit. Hanya itulah hidangan tengaharinya. Sedari pagi perutnya
tidak terasa lapar. Sebab itulah dia menolak ajakan Marissa dan Alwi untuk
makan tengahari bersama.
Tidak dinafikan dia sedikit kecewa kerana Amirah langsung
tidak datang bertanyakan khabarnya. Tidakkah wanita itu perasan akan
perubahannya ini? Dan yang paling penting tidakkah wanita itu tahu perubahan
ini adalah berpunca daripada bunga yang diterima Amirah hampir setiap hari
melalui khidmat pernghantaran?
Arrghh..fikirannya benar-benar berserabut. Dia memandang
fail-fail yang bertimbun di atas meja. Makin banyak pula kerjanya yang
terbengkalai. Entahlah! Dia seperti kehilangan tumpuan untuk menyemak fail-fail
itu. Apa yang dibaca dan diteliti seperti tidak meresap masuk ke dalam otaknya.
Membuatkan dia marah kepada dirinya sendiri lalu menutup fail itu tanpa
membukanya semula. Kalaulah perkara ini sampai ke pengetahuan Dato’ Kuzir
lunyai telinga dibebelkan.
Cemburu! Ya dia sememangnya cemburu. Selepas parti hari
jadi di rumah Dato’ Kuzir ramai teman-teman dunia perniagaanya merisik Amirah
dari dirinya. Amirah benar-benar mencuri perhatian semua jejaka pada malam itu.
Walaupun wanita itu berpasangan dengan dirinya, masih ada lagi yang mahu
bertanya? Tidakkah mereka terfikir kemungkinan Amirah adalah teman wanitanya?
Lelaki jenis inilah yang akan menjadi perosak bangsa. Sengaja mahu memusnahkan
hubungan orang lain demi kepuasan sendiri.
Rasa cemburu itu ditambahkan pula dengan kehadiran bunga
yang setiap hari dikirimkan buat Amirah. Teringin benar dia mahu mengetahui
siapakah gerangan penghantar bunga itu. Adakah daripada teman-temannya yang
berminat dengan Amirah? Atau orang lain?
Tapi dia tidak
berpeluang untuk melakukan itu kerana Hayati pembantu Amirah begitu pantas
mengambil pesanan dan diserahkan kepada Amirah. Seperti ada sesuatu yang wanita
itu sorokkan dari dirinya. Tapi apa? Siapa penghantar itu sehingga Amirah
sanggup menjadikan bunga itu sebagai hiasan di sudut pejabatnya?
Lalu, beginilah jadinya dia. Menyendiri dan memendam
rasa. Begitu kuat sekali penangan cinta Amirah sehingga mampu membuatkan dia
murung seperti ini. Semua ini benar-benar telah membuatkan moodnya berubah
mendadak. Sehingga Amirah pun malas mahu dilayan.
Huh....
Faris kembali menglemparkan pandangan keluar. Menjamu
mata dengan gelagat manusia yang dia kira sudah kembali dari makan tengahari.
Namun, pandangan matanya jatuh pada kereta Audi A4 yang
baru saja berhenti di hadapan bangunan pejabatnya. Dia mengamati susuk tubuh
yang keluar dari tempat duduk pemandu. Hakim? Dia buat apa dekat sini? Hari
setahunya dia tidak mempunyai temujanji dengan lelaki itu.
Gelagat Hakim diperhatikan. Lelaki itu kelihatan berlari
anak ke pintu sebelah tempat duduk pemandu lalu membukakan pintu. Gelagat
lelaki romantik yang jarang-jarang dapat dilihat dalam dunia sekarang.
Buntang matanya saat menangkap batang tubuh Amirah yang
baru keluar dari kereta milik Hakim itu. Dia seperti tidak percaya! Cis, Hakim!
Sudah beristeri masih lagi mahu memcuba nasib mengurat janda orang? Kurang
ajar. Patutlah lelaki itu begitu beriya memerhatikan Amirah pada malam itu.
Rupa dia sudah terpikat dengan Amirah. Dasar lelaki hidung belang!
Dan persoalannya sekarang? Kenapa pula Amirah melayan?
Tidakkah dia tahu yang lelaki itu sudah berkahwin? Hakim! Kau lebih pantas dari
lelaki-lelaki yang mahu mengenali Amirah rupanya.
Ini tak boleh jadi! Dia perlu bertindak sekarang kalau
dia tidak mahu Amirah terlepas ke tangan lelaki lain.
Naik juling mata Marissa melihat temannya yang sedari ke
hulur ke hilir di hadapannya. Entah apalah yang menganggu fikiran Amirah
sekarang ini. Nasib baik jugalah Nasuha sudah lama ditidurkan. Kalau tidak anak
itu juga pening melihat telatah ibunya saat ini.
“Eh, Mira! Cubalah kau duduk diam kat sini. Cerita dekat
aku apa yang jadi? Ni asyik ke hulu ke hilir. Buat menyakitkan mata aku saja,”
omel Marissa setelah tidak tahan dengan gelagat temannya yang sedari tadi
menghalang siaran televisyen yang dtontonnya.
“Aku ada masalah besar ni Rissa!” Luah Amirah. Dia sudah
mengambil tempat di sebelah Marissa.
“Masalah apa pula ni? Ni tak lain tak bukan pasal Hakim,
laki kau tu kan?”
Amirah pantas menganggukkan kepala. Hanya Marissa
tempatnya mengadu. Tapi kalau Marissa sudah mendirikan rumahtangga bagaimana
agaknya hidupnya nanti? Tiada lagi teman untuk berbicara dan mengadu nasib.
Kalau dekat tidak mengapalah juga. Ini tidak, sampai ke Indonesia! Entah bilalah
mereka akan bertemu lagi.
“Kenapa pula dengan laki kau tu?”
“Dia tu memang dah gila!” Omel Amirah sambil menjuihkan
bibirnya. Menunjukkan betapa dia tidak berpuas hati saat ini.
“Gila? Apa pula yang dia buat kali ni sampai kau kata dia
dah gila tu?”
Amirah mengeluh berat...
p/s: blog updated..enjoy ya!