Salam semua...
First thing, dapat agak tak apa yang akan Ida tulis bila tengok tajuk post macam tu? Apa? Tak boleh ea? Hehhe..sebenarnya Ida nak buat sedikit pemberitahuan di sini. Seperti yang anda semua tahu KYK da pun sampai bab 38. Kalau dulu Antara Benci dan Rindu tamat posting sampai bab 38 kan? Macam mana pulak dengan KYK??
Mesti semua dah saspen!! Mesti ada yang kata janganlah hentikan posting. And tak kurang ada jugak yang kata lantak la nak buat apa pun. Ada aku kesah? Erkkk..??
Untuk pengetahuan semua Ida takdelah nak stop kan posting lagi kat blog. Bab seterusnya akan tetap di post sampailah Ida rasa tiba masa yang sesuai untuk stop. Tapi wat masa sekarang Ida akan limitkan masa penyiaran. Mungkin dlm beberapa jam sahaja. After times up, Ida akan keluarkan post dari blog. Maknanya siapa yang belum baca takkan berpeluang nak baca dah? Huhuu..kejam ke Ida? Tak kan?
Caranya nak kasi anda semua tak terlepas peluang baca KYK kena bare dengan Ida. Ida akan update dekat fb ataupun kena lah masukkan blog Ida dalam senarai blog anda. Boleh macam tu? Kalau tak, x sempat baca nanti. Hmmm...
Jangan marah or kecik ati dengan keputusan Ida ni k? Tak baik untuk kesihatan. hehhe.. Akhir kalam, terima kasih dan selamat mengomen...bubye..
Jumaat, 21 Disember 2012
Khamis, 20 Disember 2012
Kau Yang Kunanti 38
Penulis:
Ida Farisya Othman
pada
12:27:00 PG
Suara celoteh MC mesyuarat bulanan untuk semua staf ibu
pejabat Faruk Group pada pagi itu langsung tidak berjaya mengalihkan tumpuan
Hakim ke situ. Segala mata dan telinganya telah dicuri oleh si cantik yang
berada di sisinya saat ini. Siapa lagi kalau bukan isterinya, Amirah.
Sepanjang mesyuarat berlangsung matanya asyik mencuri
pandang ke arah Amirah. Entah mengapa sukar benar perhatiannya mahu dialihkan
ke arah lain. Amirah yang tidak menyedari perlakuannya hanya menumpukan sepenuh
perhatian kepada wakil-wakil staf yang sedang membuat perbentangan di hadapan.
Hari ini hanya dia dan Amirah yang berpeluang menyertai
mesyuarat tersebut. Mama dan papanya tidak turut serta kerana ada urusan lain
di luar pejabat. Walaupun, pada hakikatnya mesyuarat bulanan itu diadakan khas
untuk semua kakitangan Faruk Group, namun dia dan ahli lembaga pengarah yang
lain harus turut serta dalam usaha mengeratkan hubungan antara ahli lembaga
pengarah dan juga semua kakitangan syarikat.
Aturcara majlis sudah sampai ke penghujungnya. Namun,
aturcara Hakim masih lagi berlangsung tanpa gangguan sesiapa. Dia masih lagi
asyik memandang si isteri tanpa menyedari beratus mata sedang tertumpu ke
arahnya.
“Abang!”
Hakim tersentak apabila jemari kasarnya tiba-tiba
digenggam. Terpinga-pinga dia untuk seketika. Matanya terus tunak memandang ke
sisi. Kelihatan Amirah sedang memandangnya dengan kerutan di dahi.
“Anything
to say, sir?”
Hakim mengalihkan pandangan kepada MC di hadapan pula.
Saat itu barulah dia menyedari yang dia sedang menjadi tumpuan semua staf Faruk
Group. Serta-merta wajahnya menghangat. Dia tertanya-tanya adakah dia telah
tenggelam dalam dunianya sebentar tadi sehingga tidak sedar akan apa yang
berlaku di sekelilingnya? Ah, sudah pasti! Jika tidak, masakan dia tidak sedar
MC itu sedang meminta maklumbalas darinya. Sememangnya diakhir mesyuarat akan
ada kata-kata ucapan daripada salah seorang ahli lembaga pengarah. Jika bukan
dia, pasti papanya yang akan berucap. Tapi hari ini Datuk Faruk tiada. Sudah
pastilah dia yang akan mengambilalih tugas itu.
“Err..yes
please.”
Dengan lagak selamba dan penuh gaya, Hakim melangkah ke
hadapan dan mula memberikan ucapannya. Ucapan yang berkisarkan tentang apa yang
berlaku di dalam syarikat dan juga aktivivti-aktiviti yang sedang syarikat
turut serta dengan badan-badan lain dalam usaha untuk menaikkan lagi nama dan
reputasi Faruk Group di Malaysia dan luar negara. Sekadar memberi informasi
kepada semua staf yang tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti
itu. Selain itu, sebagai ketua dia juga mengingatkan semua staf tentang sikap
bekerjasama dan juga integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas seharian.
Dalam pada itu, sempat lagi matanya menangkap figura
isteri kesayangan yang tenang mendengar ucapannya. Sebuah kenyitan dihadiahkan
kepada si isteri. Jelas wanita itu terkejut dengan kenakalannya. Riuhan
suara-suara staf yang perasan akan kelakuannya tu langsung tidak diendahkan.
Dia tersenyum apabila Amirah tertunduk malu.
“Auwww!!” Jeritan Hakim memecah keheningan ruang kerja
suaminya itu. Dia menggosok-gosok lengannya yang baru sahaja menjadi mangsa
cubitan bisa Amirah. Berkerut-kerut wajahnya menahan sakit. Amirah kalau sudah
mencubit memang lebam tubuh badan dia jadinya.
“Sakitlah sayang,” rengeknya. Wajah masam si isteri
dipandang dengan wajah meminta simpati. Namun simpati tidak diperolehi, malah
cebikan bibir yang diterima. Makin masam wajah itu jadinya.
“Padan muka!”
“Yang marah abang sangat ni, kenapa?”
“Abang tulah!”
Hairan. Dia? Kenapa pula dengan dia? Sejujurnya dia juga
diselubungi persoalan sekarang. Melangkah sahaja masuk ke ruang pejabatnya
terus lengannya dicubit kuat.
“Apa yang abang dah buat sampai sayang marah sangat
dengan abang ni?”
“Kenapa abang buat macam tu kat dalam meeting tadi? Malu Mira dengan semua
staf, tahu?”
Hakim ketawa kuat. Rupanya itu yang menjadi punca
kemarahan si isteri. Ingatkan apalah tadi. Buat saspen sahaja.
“Salah sayanglah. Goda abang semalam sampai hari ni teringat-ingat.”
Amirah membulatkan mata. Malu dia apabila suaminya
mengungkit perihal semalam. Serta-merta wajah menghangat. Nasib baiklah pipinya
sudah sedia merah dengan bantuan pemerah pipi. Dapatlah juga dia menyembunyikan
rasa malu itu.
“Kenapa salah Mira pula. Abang yang menggatal!” Omel
Amirah.
Hakim sudah tersengih nakal. Terus sahaja lengannya
melingkar pada belakang pinggang Amirah dan menarik tubuh itu rapat tubuhnya. Terkejut
si isteri dengan perlakuan mengejutnya.
“Mana abang menggatal. Siapa yang peluk siapa semalam?”
Hakim mengusik isterinya. Keningnya sengaja dinaikkan dengan senyuman nakal
terukir di bibir. Kenangan semalam bermain lagi di minda. Ahh, dia memang
tengah angau dengan isteri sendiri! Terasa seperti baru sahaja menjalani malam
pertama sedangkan semalam adalah malam ke berapa, dia sendiri tidak ingat. Tidak
semena-mena kenangan semalam menjelma di ingatan.
Hampir terlelap Hakim menunggu isterinya yang langsung
tidak ada tanda ingin melangkah keluar. Di melihat jam dinding. Lama sungguh
Amirah menukar pakaian. Jika tidak salah perkiraannya, sudah hampir setengah
jam dia menunggu di katil itu. Tertanya-tanya di dalam hati apa yang isterinya
lakukan sedangkan setahunya Amirah hanya perlu menukar pakaian sahaja?
Lalu, dengan rasa yang tidak sabar dia bangun dan
berjalan menghampiri bilik air. Pintu bilik air itu diketuk perlahan. Bimbang
menganggu tidur si kecil.
“Sayang??” Panggil Hakim. Menunggu balasan dari si
isteri. Namun, untuk beberapa saat tiada balasan yang diterima.
Sementara itu di dalam bilik air, Amirah sudah
kegelisahan sendiri. Dia tahu sudah lama dia bertapa di sini. Niatnya cuma
satu. Biarlah sewaktu dia melangkah keluar nanti suaminya sudah lena dibuai
mimpi. Jadi dapatlah dia menukar pakaian kembali. Sungguh dia tidak selesa
tampil dengan gaun begini di hadapan Hakim.
Tapi salah dirinya juga! Siapa suruh berani membeli
koleksi pakaian tidur yang sebegini seksi. Wanita lain membeli untuk memikau
pandangan suami di malam hari. Tapi dia pula hanya berani memakainya kala suami
tiada di sisi. Bila Hakim dapat tahu, dipaksa dia memakainya. Seeloknya, semua
gaun tidur yang seksi ini dibungkus terus. Barulah rahsianya selamat sejahtera.
Huh, gumamnya sendirian.
“Sayang??” Ketukan di muka pintu hampir membuatkan Amirah
terlompat. Jantungnya mula berdegup laju. Suaminya masih belum tidur? Aduh, apa
aku nak buat ni? Sekali lagi penampilannya diintai melalui cermin. Dia menelan
liur sendiri. Malunya!!
“Sayang?” Sekali lagi namanya dipanggil.
“Er..ya abang!” Sahut Amirah sambil meramas jemarinya.
Terasa sejuk telapak tangannya akibat terlalu gementar.
“Apa yang sayang buat lama sangat kat dalam tu? Nak
terlelap abang tunggu sayang tukar baju.”
“Er..sekejap lagi Mira keluarlah.” Putusnya. Tidak mahu
Hakim terus bertanya. Dia perlukan masa untuk bertenang walaupun telah banyak
masa yang dia gunakan untuk tujuan iu sebentar tadi. Untuk mengelat memang dia
tidak mampu lagi.
“Abang tahu sayang dah siap tukar baju, kan?”
Amirah mengetap bibir. Memanglah sudah. Tapi pokoknya
sekarang dia tengah malu!
“Keluarlah sayang. Tak usah malu dengan abang. Abang
suami sayang.” Pujuk Hakim. Dia tahu sebab Amirah dia mahu keluar. Kalau bukan
kerana malu dan segan, apa lagi?
Tidak berapa lama selepas itu dia terdengar pintu bilik
air itu dikuak perlahan. Muncul kepala isterinya diantara kuakan kecil itu.
Manakala, tubuhnya masih lagi berada di belakang pintu. Menyembunyikan apa yang
mahu dilihatnya sedari tadi.
Wajah segan dan kemerahan si isteri ditatapnya bersama
sengihan melebar.
“Kenapa menyorok kat belakang pintu tu?”
Amirah tidak menjawab. Sejujurnya dia tidak tahu hendak
menjawab apa. Hakim sudah membuatnya menggeletar seluruh tubuh. Situasinya
sekarang mengalahkan gadis yang bakal mengharungi malam pertamanya.
“Sini..” Hakim sudah mencapai tangan si isteri yang kejap
memegang daun pintu dan cuba menarik tubuh itu keluar dari persembunyiannya.
Manakala, sebelah tangan lagi menolak daun pintu terbuka lebar.
Tiada pilihan Amirah terpaksa menurut apabila si suami
sudah menarik tanggannya. Membawa tubuhnya keluar dari ruang pertapaannya
sebentar tadi.
Sebaik sahaja daun pintu terbuka lebar, Hakim terus
terpaku di tempat dia berdiri. Matanya meliar menjamah keindahan di hadapan
matanya. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki tidak terlepas dari
pandangan matanya. Liurnya ditelan beberapa kali. Sungguh, dia sendiri tidak
tahu hendak digambarkan dengan kata-kata dengan apa yang menjadi santapan
matanya saat ini. Berdetak hebat jantungnya! Dadanya berombak ganas!
Menyedari pandangan tajam si suami membuatkan Amirah
menunduk rapat memandang lantai. Kini, getaran pada tubuhnya dirasakan makin
hebat. Lututnya terasa longgar. Jika, Hakim tidak memegang lengannya sekarang
pasti tubuhnya sudah terjelopok di atas lantai.
Amirah kalut apabila Hakim cuba menghilang jarak antara
mereka. Kakinya terpasung. Dia tidak tahu hendak berbuat apa melainkan hanya
berdiri tegak di tempatnya. Dia memejamkan mata apabila terasa hembusan nafas
Hakim di wajahnya. Wajahnya masih juga menunduk seperti tadi. Langsung tidak
berani menentang renungan tajam dari suaminya. Seram! Seluruhnya tubuhnya sudah
menggeletar dalam rangkulan hangat si suami.
Bibir Hakim tersungging nakal apabila terasa getaran pada
tubuh isterinya. Ternyata Amirah masih malu dengannya. Teringat kenangan malam
pertama mereka kira-kira tiga tahun lepas. Begini jugalah situasi isterinya.
Cuma waktu itu tidaklah pula Amirah mengenakan gaun tidur yang menyerlahkan
tubuhnya yang menggiurkan ini. Terasa sungguh bertuah dirinya saat ini.
Walaupun sudah lama berkahwin, malah sudah beristeri dua, dia masih lagi
berpeluang merasai kehangat malam pertama bersama isteri kesayangannya.
Jemari suam Hakim menolak mengangkat dagu Amirah yang
sedari tadi menunduk.
Dalam gementar rasa Amirah mencelikkan mata lalu membalas renungan redup
suaminya. Saat itulah Hakim terasa dunianya entah ke mana. Menyelam ke bening
bercahaya itu membuatkan dunianya terasa indah serta-merta. Bening yang begitu
mengasyikkan dan mendamaikan. Tanpa sedar bibirnya sudah menghampiri bibir si
isteri. Keinginan yang sudah lama tertangguh mahu ditunaikan segera.
Saat bibir mereka hampir bersatu, Amirah melarikan
wajahnya. Dia memejamkan mata rapat. Entah mengapa dia mengelak cumbuan si
suami, dia sendiri tidak tahu. Dia keliru! Di ruang tamu tadi dia bisa
melerakan tapi sekarang kenapa hati berat
untuk memberikan perkara yang sama?
“Kenapa sayang?” Bisik Hakim di telinga Amirah. Bisikan
yang cukup untuk membuatkan nafasnya menderu laju. Ahh, Hakim sudah menjalankan
misi menggodanya.
“Ta..tadi abang cakap abang takkan paksa Mira.”
Hakim tersenyum menggoda. “I am not. I will not forcing you for what you don’t want to. But, I
really need this. Your kiss. For this time being. I’m begging you, baby. Just
for once. Please..” Lirih kedengaran suara itu merayu si isteri. Membuatkan
Amirah makin tidak senang duduk.
“Please sayang.
Just one kiss. Then I’ll let you go.”
Bisikan itu berjaya membuatkan Amirah menegakkan kepalanya semula. Kembali
menentang renungan suami yang dirasakan sungguh menggoda. Dia tenggelam dalam
renungan itu. Sehingga tidak sedar dia turut membalas kucupan hangat si suami
pada bibir munggilnya.
Amirah melepaskan tautan bibir mereka apabila merasakan
nafasnya semakin pendek. Tercungap-cungap dia untuk seketika. Tautan mata
mereka masih lagi belum terlerai.
“Thanks
sayang.” Ucap Hakim. Tubuh Amirah ditarik rapat ke dalam pelukan. Menghidu
harumnya haruman dari rambut lurus si isteri.
Pelukan hangat si suami di balas seadanya. Sesungguh dia
terasa begitu tenang setiap kali tubuhnya terdampar pada dada sasa itu. Dia
rasa selamat dan sangat disayangi. Tanpa sedar air matanya mengalir perlahan
menuruni lekuk pipi. Sudah lama dia tidak berperasaan begini.
Hakim pantas merungkaikan pelukan sebaik sahaja
telinganya menangkap suara sendu si isteri. Tungkas matanya mencari mata
Amirah. Kedua belah pipi gebu itu dipegangnya. Berkerut dahinya melihat mutiara
jernih menghiasi bening itu.
“Sayang menangis? Kenapa? Abang ada sakitkan hati sayang
ke? Atau abang terlalu memaksa tadi?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulutnya.
Gusar hatinya dengan keadaan si isteri. Setelah apa yang berlaku, dia tidak
rela melihat air mata itu tumpah lagi. Hatinya juga akan turut terluka.
Amirah pantas menggelengkan kepala. “Tak, bukan sebab tu!
Mira menangis se..sebab..sebab..”
Dia tidak mampu meneruskan kata apabila air matanya
semakin laju menuruni pipi. Semakin kalut Hakim dibuatnya. Sekali lagi tubuh
itu dibawa ke dalam pelukan. Berusaha menenangkan Amirah.
“Sebab apa sayang? Kalau abang salah, abang minta maaf.”
“Bukan salah abang.”
“Habis tu kenapa, sayang? Abang risau bila tengok sayang
menangis macam ni.”
Amirah melepaskan pelukan. Namun jarak tubuh masih
terlalu dekat.
“Mira menangis bukan sebab sedih, tapi sebab gembira.”
Hakim mengerutkan dahi. “Gembira pun menangis?”
Amirah ketawa kecil dengan tindakbalas si suami. “Mira
gembira. Selepas apa yang berlaku kita masih lagi ditakdirkan untuk bersama.
Kita masih lagi diberi peluang untuk bahagia. Dan Mira bersyukur sangat kerana
abang masih lagi di sisi Mira. Bukan terus meninggalkan Mira dan anak kita
sendirian. Terima kasih abang. Dah lama Mira tak rasa bahagia macam ni. Mira
ingat Mira dah tak berpeluang.”
Hakim tersenyum. Ibu jarinya menyeka sisa air mata yang
masih melekat di pipi Amirah. Terharu dia mendengar kata-kata si isteri. Jika
Amirah merasa begitu, dia lebih lagi. Betapa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana
masih diberi peluang menebus segala dosa dan menyintai serta dicintai.
Sesungguhnya dia tidak akan pernah mampu untuk kehilangan Amirah dan Nasuha
untuk kali yang kedua.
“Abang pun sama sayang. Terima kasih untuk sayang sebab
masih sudi beri peluang pada abang. Abang janji abang akan cuba jadi suami dan
ayah terbaik untuk sayang dan anak-anak kita yang bakal lahir nanti. Dan abang
minta maaf sebab pernah melukakan hati sayang.”
Amirah tersenyum manis. Dia menjatuhkan kepala pada dada
sasa suami. Tangannya melingkar kemas pada pinggang Hakim. Dia bahagia. Dengan
memeluk tubuh itu membuatkannya semakin bahagia.
Hakim menelan air liur. Dadanya kembali bergetar laju.
Agak lama mereka berpelukan mesra. Untuk sesaat dua Hakim bisa tersenyum senang
menyambut pelukan itu. Namun, untuk beberapa saat seterusnya Hakim mula tidak
senang duduk. Pelukan Amirah terasa begitu erat sehingga setiap lekuk pada
tubuh itu dapat dirasainya. Tanpa sedar telapak tangannya sudah meliar pada
tubuh itu.
Usapan yang semakin menakal pada batang tubuhnya
membuatkan Amirah pantas membukakan mata. Perlahan-lahan dada Hakim ditolak
bagi menjarakkan tubuh mereka. Dia tahu apa yang suaminya inginkan. Usapan itu
telah menyatakan segalanya. Namun, dapat dia rasakan masa untuk itu belum lagi
tiba.
“Err..abang, Mira dah mengantuklah. Nak tidur,” dalihnya.
Dalam masa yang sama tidak mahu si suami berkecil hati dengan penolakannya.
Jelas Hakim sedikit kecewa dengan penolakkan itu. Namun
apakan daya, itu adalah kemahuan Amirah. Dia juga sudah maklum akan itu. Tapi
masih juga mahu mencuba nasib. Manalah tahu, Amirah berubah fikiran. Seperti
yang dia katakan, dia tidak mahu memaksa Amirah untuk menerima dirinya secara
‘total’ sebagai suami. Begini saja sudah tidak terungkap rasa syukur.
“Okaylah, jom
kita tidur.”
Mereka berpimpinan tangan ke katil. Lampu di sisi katil
mula dipadamkan. Hanya membiarkan cahaya dari lampu jalan menerangi ruang kamar
itu. Tubuh masing-masing direbahkan di atas tilam.
“Goodnight
sayang.” Kucupan sayang dihadiahkan di dahi Amirah. Rutin harian setiap kali
sebelum tidur tidak pernah dilupakan.
“Goodnight
abang.” Balas Amirah seperti selalu. Namun, malam ini agak berbeza kerana
ucapan itu disertakan dengan ciuman kudus di pipi kanan Hakim. Tersenyum lebar
suaminya saat menerima hadiah itu.
Amirah mula memejamkan mata. Dengan senyuman yang masih
menguntum di bibir, dia berharap lenanya malam itu dihiasi mimpi indah.
Saat lenanya baru menyapa, dirinya dikejutkan dengan
dentuman guruh yang agak kuat. Terbuka luas matanya memerhati ke sekeliling.
Nasuha di atas katil bayi diintai. Bimbang jika tidur anak itu terganggu
gara-gara guruh kuat itu. Dia menarik nafas lega apabila anaknya masih lagi
lena. Puterinya itu tidak banyak ragam di waktu malam. Dia hanya akan menangis
jika lampinnya basah dan lapar.
Dia memandang suami di sisi pula. Hakim juga dilihat
tenang dalam lenanya. Langsung tidak terganggu tidurnya seperti dia. Ahh, anak
dengan abah sama saja! Dia juga yang tidak dapat tidur lena kerana guruh dan
petir yang menggila di luar benar-benar menakutkannya. Sesekali kamar tidur
mereka terang-benderang dek biasan cahaya kilat yang memanah bumi.
Susulan guruh yang kuat selepas itu sekali lagi
membuatkan Amirah terperanjat. Dia pantas merebahkan tubuhnya dan menarik gebar
hingga melepasi kepala. Telinganya ditekup dengan kedua belah tangan. Jika
menggunakan bantal bimbang akan menghalang pendengarannya terhadap Nasuha.
“Sayang, kenapa ni?”
Untuk kesekian kalinya Amirah tersentak lagi.
Perlahan-lahan dia menurunkan gebar untuk mengintai keluar. Kelihatan Hakim
sedang memandangnya dengan riak kerisauan jelas di wajah. Hakim belum tidur
lagi? Tapi tadi seperti tidak terganggu langsung dengan guruh dan petir yang
bersabung di luar. Bagaimana pula boleh terjaga? Adakah dia telah menganggu
tidur suaminya?
“Kenapa?”
Perlahan-lahan, Amirah mendudukkan dirinya. “Sorry, Mira ganggu abang tidur, ya?”
Sopan Amirah bertanya.
“Sayang kenapa? Takut?” Tanpa menjawab pertanyaan si
isteri, Hakim terus bertanya.
Amirah menggelengkan kepala. Tidak berniat untuk
berterus-terang dengan si suami. Buat malu sahaja kalau dia mengaku takutkan
kilat dan guruh. Sedangkan anak daranya yang seorang itu pun bisa tidur dengan
nyenyak tanpa gangguan. Padahal sebelum ini, kilat dan guruh bukanlah sesuatu
yang ditakutkan. Entah kenapa malam ini terasa lain benar.
“Tak adalah. Mana ada Mira takut,” dalihnya.
“Habis tu kenapa berselubung tadi?”
“Err..” Giat Amirah mencari alasan. “Er...aa..Mira tak
boleh tidur sebab cahaya kilat tu terang sangat dalam bilik. Sebab tu Mira
berselubung.” Alasan yang dikira agak konkrit. Bijak kau Amirah! Dia memuji
diri sendiri.
Hakim menganggukkan kepala. Menerima sahaja alasannya si
isteri. “Kalau macam tu sayang tidurlah lagi. Sekejap lagi redalah guruh dengan
kilat tu.”
Tubuh Amirah dibaringkan semula. Dia membertulkan gebar
agar kemas menyelimuti si isteri. Kemudian, dia juga mula merebahkan tubuhnya
ke tilam. Namun, belum sempat belakang tubuhnya mencecah tilam terasa badan
dihempap hebat sehingga menyebabkan tubuhnya terlontar di atas tilam dengan
sendirinya. Terpinga-pinga dirinya bersama nafas yang terasa agak sempit.
“Sayang?” Selepas beberapa saat, jelas bahawa yang
menghempapnya tadi adalah tubuh isterinya.
Amirah langsung tidak mengendahkan panggilan suaminya. Tubuh
itu dipeluk kejap dan erat. Wajahnya pula disembamkan ke dada sasa Hakim. Dentuman
yang lebih kuat daripada tadi benar-benar mengegarkan tubuhnya sehingga dia
terdorong melakukan tindakan refleks ini.
“Sayang?” Panggil Hakim lagi bersama usapan lembut di
bahu isterinya. Tahulah dia kini, yang Amirah memang sedang ketakutan. Takut
pada bunyi guruh dan petir. Dia tersenyum nakal. Masa bertanya tadi tak nak
mengaku! Sekarang peluk orang tak ingat! Macam nak patah tulang ni kerana
pelukan yang ketat itu.
“Abang, Mira takut,” adu Amirah dalam pelukan suami. Akhirnya
dia mengaku juga. Biarlah jika Hakim mahu mentertawakannya pun! Dia tak peduli.
Yang penting ada suami yang boleh menemaninya bagi menghilangkan rasa takut
ini.
Hakim menyembunyikan senyum. Tubuh Amirah yang menindih
tubuhnya dipeluk dan diusap mesra. Cuba menghilangkan rasa takut si isteri.
“Tak ada apa-apa sayang. Cuma guruh saja. Sayang
tidurlah, ya? Esok nak kerja.”
Amirah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tubuh suami makin
dipeluk erat. Wajahnya pula sudah disembamkan ke leher suaminya. Ketakutan yang
dirasai telah menjauhkan pemikiran Amirah dengan apa yang sedang dia lakukan.
Tiada perkara lain yang difikirkan melainkan rasa takut itu sahaja.
Hakim mula gelisah. Pelukan yang erat. Deru nafas yang
menampar leher. Benar-benar membuatkan peluh jantannya memercik keluar. Ditambah
pula dengan gaun si isteri yang sudah bercelaru kedudukannya sehingga
mendedahkan bahagian-bahagian yang sedari tadi cuba dipelihara si isteri dari
tatapan matanya. Dadanya kembali berdetak hebat. Keinginan yang cuba dikawal
tadi kembali bergelora. Tanpa dapat ditahan-tahan usapan penenang tadi sudah
bertukar kepada sentuhan liar. Amirah yang masih dalam ketakutan langsung tidak
membantah. Malah, dia terasa lebih selamat. Dia makin mengeratkan pelukan.
Respon yang diberikan Amirah semakin membuatkan Hakim
berani. Dia mengalih kepalanya ke sisi dan mencari wajah yang sedang bersembunyi
pada lehernya. Saat mata bertentang, kedua-duanya sudah tidak mampu menafikan
perasaan yang ada dalam diri masing-masing. Dentuman guruh dan petir sudah
tidak kedengaran lagi. Yang ada hanyalah irama indah yang berlagu dari hati
masing-masing mengiringi malam yang cukup hangat dan membahagiakan.
Isnin, 3 Disember 2012
Novel Lelong lagi!!
Penulis:
Ida Farisya Othman
pada
12:25:00 PG
Hi, kawan2..ni update novel2 terpakai yg Ida nak jual..Sape2 nak beli leh la tengok2 dulu..Then pm Ida kat fb k. Harga x termasuk postage RM6 utk setiap buku.. Diingatkan! RM6 untuk setiap buku. Kos postage yg di charge adalah reasonable. Kalau tak percaya boleh rujuk laman web Pos Malaysia
Terbitan Kaki Novel
12.
Nasi Lemak Buah Bidara (April Snow) = RM16
13.
Sha & Shah (Sha Ibrahim) = RM20
14.
Hangatnya Cinta (A’je Fazlina) = RM13
Terbitan Alaf 21
Terbitan Buku Prima
Terbitan Fajar Pakeer
Harga bergantung juga pada kondusi naskah novel
tsb.
Kalau ada yg nak beli pm Ida kat fb ea.. SERIOUS
BUYER ONLY. Jadi sebelum nak pm Ida tu tanyalah pada diri anda adakah anda “serious buyer” itu.
Insyaallah penghantaran akan dibuat dlm kadar
segera selepas bukti pembayaran dilampirkan....
Sabtu, 1 Disember 2012
Kau Yang Kunanti 37
Penulis:
Ida Farisya Othman
pada
11:23:00 PTG
Hakim tersenyum dengan telatah si isteri. Kelihatan
Amirah sedang tersipu-sipu malu. Gemar benar dia melihat Amirah dalam keadaan
begitu. Pantas dagu si isteri ditolak mengadapnya. Dia nampak usaha si isteri
yang cuba melarikan pandangan matanya. Sehingga ke saat ini Amirah masih lagi
tidak mampu membalas renungannya. Malu benar isterinya ini.
“Malulah tu!” Usik Hakim. “Sayang ni dah lama kahwin
dengan abang pun masih malu lagi, kan?”
Kata-kata Hakim semakin menambahkan rasa malu di hatinya.
Suaminya itu benar! Entah mengapa perasaan malu itu sukar benar dikikis. Namun,
perasaan malu inilah yang menambahkan keserian dalam rumahtangga mereka. Menghangatkan
lagi hati mereka. Jika Nasuha tidak ada dihadapan mereka sekarang, pasti mereka
sendiri tidak sedar yang hubungan suami isteri ini telah tercipta hampir tiga
tahun lamanya.
“Mana ada,” sangkal Amirah. Dia menolak perlahan jemari
yang masih menyentuh bawah dagunya. Kepalanya ditegakkan ke hadapan.
Menyembunyikan wajah yang semakin membahang. Langsung terlupa akan
pertanyaannya tentang Sofiana sebentar tadi.
“Come onlah,
sayang. I know you. Kalau dah muka
macam pakai blusher tu apa maknanya?”
Semakin giat pula Hakim mengusik isterinya.
“Abang ni! Sengaja nak kenakan Mira, kan?”
Hakim tergelak riang. Seronok benar dia mendengar lirih
suara si isteri yang gusar diusik olehnya. Manja dan lunak sekali kedengaran
berlagu di telinganya. Merayu agar usikan terhadapnya dihentikan segera.
“Tulah, lain kali sebut lagi nama Sofiana antara kita.
Abang tak suka, tahu!” Tegas Hakim. Mungkin boleh juga di katakan sebagai
‘amaran’ agar Amirah tidak mengulanginya lagi.
“Yelah, sorry.
Mira janji tak buat lagi.” Janji Amirah. Cekap benar Hakim mengalihkan arah
perbualan mereka. Jika dilanjutkan pun, dia pasti hatinya juga bakal sakit.
Jujur dia juga tidak senang nama madunya itu terselit dalam perbualan mereka.
Mujur juga Hakim mengingatkannya tentang itu. Jika tidak, dia sendiri tidak
pasti apakah perasaan berbunga saat ini akan terus kekal atau kesuraman yang
menyelubungi?
“That’s my girl!”
Hidung si isteri dicuit sedikit.
Perbuatan nakal si suami di balas dengan senyuman manis.
Kepala dilentokkan ke dada sasa Hakim. Mendengar irama indah yang terhasil dari
dengupan jantung suaminya. Lengan sasa suami yang melingkar di tubuhnya semakin
menambahkan manis pada senyuman Amirah. Dia sangat bahagia dipeluk sebegitu.
“Sayang..?”
“Hmm..” Gumam Amirah.
“Kalau abang tanya sikit, sayang jangan marah, ya?”
“Abang tak tanya lagi macam mana Mira nak marah?” Amirah
membalas pertanyaan suaminya dengan pertanyaan juga. Sengaja mengusik suaminya
itu.
Nafas dalam ditarik bagi meredakan rusuhan hatinya. Entah
benar atau tidak tindakannya ini? Tapi dia juga perlu tahu. Dia sangat-sangat
perlu dan dia berhak mengetahuinya!
“Sayang pernah mencintai Faris?”
Pertanyaan Hakim yang secara tiba-tiba itu mengejutkan
Amirah. Terus hilang senyuman manisnya saat ini. Soalan jenis apa ni? Tanyanya
di dalam hati. Memang bisa mendatangkan kemarahan. Namun, dia masih tetap cuba
menenangkan gelodak dalam hatinya saat ini.
“Soalan apa ni?”
“Abang cuma bertanya, sayang. Jawablah.”
“Abang rasa?” Amirah bertanya pula.
“Abang tak tahu. Sebab tu abang bertanya. Please ceritalah pada abang,” gesa
Hakim. Sudah lama dia mahu bertanya tentang perkara ini. Tapi semuanya ditelan
sendiri apabila mengenangkan hubungan mereka yang masih belum pulih. Dia tidak
mahu melukakan hati isterinya dengan semua ini. Dalam erti kata lain, dia perlu
bijak mengendalikan suasana.
Amirah pernah menolak cinta Faris di depan matanya
sendiri tempohari. Dia percaya sebagai isteri, Amirah masih ingat akan batas
dan had dirinya. Namun, siapa tahu jauh di sudut hati isterinya juga pernah
menaruh hati buat Faris? Perempuan mana yang tidak jatuh hati kepada Faris?
Perempuan mana yang tidak menoleh kali kedua apabila melihat Faris? Semua itu
merungsingkannya.
“Abang tak percaya pada Mira? Abang ingat Mira ni mudah
berlaku curang macam abang?” Lingkaran tangan Hakim dileraikan. Dia sudah
memeluk tubuh dengan bibir memuncung. Sedikit berkecil hati dengan pertanyaan
itu.
Gulpp. Hakim menelan air liur! Wajahnya memerah. Dalam
hati menyimpul senyum bila mengenangkan kenakalan isterinya. Sempat lagi
mengenakannya dalam suasana begini.
Salahnya juga! Siapa suruh gatal bertanya? Kan dah
terkena!
“Nakal isteri abang ni. Pantang ada peluang, habis abang
disindirnya!” Hidung Amirah dicuit sedikit. Berusaha menghilangkan rajuk si
isteri.
Amirah menepis jemari kasar Hakim. Wajahnya semakin masam
mencuka. Langsung tidak berminat dengan usikan si suami.
“Sayang?”
Perhatian si isteri cuba dipancing.
“Sayang?” Panggil Hakim lagi. Dia mengaru-garu kepala
yang tidak gatal. Alamak, merajuk pula! Keluhnya di dalam hati.
“Sayang, janganlah macam ni. Abang tak bermaksud macam tu
pun. Abang cuma nak tahu saja.”
“Nak tahu? Habis? Abang ingat Mira kembali ke sisi abang
ni untuk apa? Suka-suka?”
Hakim menggelengkan kepala. “Tak, dengar abang dulu!”
Kedua belah bahu Amirah dicapai lalu di tarik menghadapnya. Walaupun ada
penolakan pada awalnya, namun sebagai isteri Amirah turutkan juga. Namun,
wajahnya tidak dialihkan. Dia membuang pandang ke arah Nasuha yang asyik
bermain di lantai. Langsung tidak mempedulikan kedua ibu bapanya yang sedang merajuk
dan memujuk manja.
“Sayang....?” Bisik Hakim. Pipi isterinya dipegang dengan kedua belah
tangan. Memaksa Amirah memandang ke matanya.
“Sayang, abang tahu sayang ikhlas terima abang dalam
hidup sayang. Abang juga tak ragu-ragu tentang perasaan cinta sayang pada
abang. Tapi selama perpisahan kita, abang tahu sayang terluka. Abang juga tahu
sayang dan Faris berkawan rapat. Selalu keluar makan bersama. In fact, dia dah pun mengaku perasaan
dia pada sayang. Abang takut kalau sayang pun ada rasa yang sama. Cuma status
isteri yang menyebabkan sayang menolak dia. Lelaki seperti Faris cukup
segalanya. Susah perempuan hendak berkata tidak! Sebab tu abang berusaha. Abang
berusaha menyembuhkan luka di hati sayang dan kembalikan rasa cinta di hati
sayang jika rasa tu dah tiada untuk abang. Dan Alhamdulillah, nampaknya
berhasil. Tuhan makbulkan doa abang.” Terang Hakim. Berharap agar isterinya
memahami apa yang cuba disampaikan.
“Tapi kalau sayang rasa keberatan dengan soalan abang tu,
tak mengapalah. Abang tak paksa.” Hakim mengalah. Tidak ingin mengeruhkan
suasana romantis mereka dengan persoalan lain. Tulus dari hati dia tidak
meragukan cinta si isteri. Cuma seperti apa yang dikatakannya sebentar tadi,
tidak dapat tidak persoalan itu terlintas di kotak fikirannya.
Dalam keadaan hati yang terluka, mungkin dengan mudah
cinta dan kasih sayang dari insan lain menakluki sanubari. Apatah lagi, jika
insan itu begitu mengambil berat dan lengkap pakejnya. Hati wanita mana yang
tidak goyah?
Jika itu benar-benar terjadi, entah bagaimana dia mahu
menggambarkan kekuatan dan keluhuran isterinya. Sanggup mengetepikan cinta di
hati demi tanggungjawab dan kewajipan sebagai seorang isteri yang masih
dipikul. Sedangkan dia? Sanggup pula berkahwin dengan wanita lain tanpa
pengetahuan Amirah. Bukannya berusaha menghangatkan rumahtangga mereka semula!
Sungguh dia malu dengan dirinya sendiri.
“Bagaimana Mira nak mencintai lelaki lain, sedangkan
dalam hati Mira cuma ada nama abang seorang saja?” Luah Amirah tanpa segan
silu. Dia faham gelodak hati suaminya saat ini. Hakim bimbang cintanya telah
beralih kepada Faris selama perkenalan mereka. Tidak dinafikan Faris punya pakej lengkap sebagai seorang lelaki yang
paling dikehendaki oleh wanita-wanita muda di luar sana. Tapi itu tidak
bermakna dia bisa melupakan cinta hatinya begitu sahaja. Tambahan pula, lelaki
itu adalah suaminya! Satu-satunya lelaki yang wajib dia cinta di dunia ini!
Pandangan mereka bersabung. Amirah dapat membaca riak
tidak percaya yang terlukis pada wajah itu.
Telapak tangannya diletakkan di atas jemari kasar Hakim
yang masih bergayut di pipinya. Kedua belah tangan itu ditemukan dan dikucup
mesra. Bibirnya mengukir senyuman manis. “Dari dulu, kini dan selamanya hati
Mira untuk abang. Memang hati Mira terluka! Malah, Mira pernah cuba buang nama
abang jauh-jauh dari hati Mira. Serik! Mira takut terluka lagi. Pada Mira,
abang hanya tahu melukai.” Amirah mula bercerita. Biarlah dia luahkan segalanya
malam ini. Agar tiada sisa yang merajai.
Hakim membalas genggaman si isteri. Memberi kekuatan
untuk wanita itu meneruskan bicaranya. Walaupun hati sedikit gusar dengan
kata-kata si isteri, namun dia berusaha menenangkan diri.
“Faris hadir dalam hidup Mira hanya sebagai majikan dan
kawan. Tak lebih daripada tu! Mungkin dia punya perasaan terhadap Mira. Tapi
bukan Mira! Takkan pernah terjadi!” Amirah mengetap bibir. “Hati Mira terlalu
degil! Terlalu degil untuk terus mencintai abang walaupun pernah dilukai.
Takkan ada lelaki lain yang dapat menggantikan tempat abang di sini.” Genggaman
tangan mereka di bawa ke dadanya.
Menitis air mata Hakim seusai kata-kata Amirah. Begitu
luhur cinta Amirah buat dirinya. Terasa tidak layak untuk dia mendapat cinta
setulus itu dari isterinya ini.
“Terima kasih, sayang. Terima kasih kerana mencintai
abang. Maafkan abang kerana pernah melukai, sayang. Abang akui abang memang
bodoh. Abang tamak! Sedangkan abang sudah punya permata yang sangat bernilai di
sisi abang.”
Jemari isterinya dikucup bertalu-talu. Laju air matanya
mengalir di pipi. Air mata yang sangat mahal untuk lelaki seperti dia bazirkan.
Tapi hari ini, air mata itu tumpah untuk isteri tersayang. Air mata penyesalan.
“Maafkan abang, sayang. Maafkan abang untuk soalan bodoh
tu. Maafkan abang juga kerana pernah melukakan dan masih melukai. Abang
cintakan sayang. Terlalu cinta. Sayang isteri abang dunia akhirat.”
Air mata suami dikesat pantas. Dia menggelengkan kepala.
Tidak rela Hakim menangis begitu. Hatinya juga akan turut menangis.
“Mira dah lama maafkan abang. Mira redha abang. Mungkin
ini takdir hidup Mira,” pujuk Amirah. Gusar dengan keadaan suaminya itu. Keadaan
romantik dan ceria awalnya telah bertukar menjadi babak air mata pula.
“Bertuah abang punya isteri seperti sayang. Kenapalah
abang buta dulu? Kalaulah boleh diputarkan masa takkan ulangi kesilapan abang.
Hati sayang abang akan jaga sebaiknya.”
“Dahlah abang. Semuanya dah berlaku. Tiada guna nak
disesali lagi. Apa yang penting kita jadikan apa yang telah berlaku sebagai
pengajaran berguna untuk kita. Masa depan kita masih jauh abang. Masih banyak
lagi rintangan dan halangan yang bakal kita tempuh. Kita harus bersatu hati.
Lagipun, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, kan?”
Pantas Hakim menganggukkan kelapa sambil mengukir
senyuman indah. Air mata yang masih berbaki dikesat dengan belakang tangan.
“Abang setuju! Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.”
Berkerut dahi Amirah dengan perubahan emosi si suami.
Takkanlah dengan ayat memujuk yang tidak seromantik mana tadi bisa menterbalikkan perasaan lelaki ini
dengan serta-merta? Eh, sekejap! Hakim menyokong kata-katanya? Terbelalak mata
Amirah apabila mindanya berjaya memproses satu perkara.
“Amboi, cepatnya setuju! Tadi bukan main lagi drama
syahdu, sekarang dah tersengih macam kerang busuk ni, kenapa?”
Terhenti terus senyuman Hakim dengan kata-kata isterinya.
Giliran dia pula mengerutkan dahi. Apa, salahkah dia tersenyum? Dia sedang
bahagia! Jadi, haruslah dia tersenyum. Dan tindakannya menyokong kata-kata
Amirah tadi tidak wajarkah? Rasa tiada apa yang salah? Atau dia salah dengar?
Takkan isterinya berkata ‘semua yang berlaku tiada hikmahnya’ pula? Jarang pula
mendengar frasa yang sebegitu. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Sayang cakap tadi semua yang berlaku ada hikmahnya,
kan?” Hakim bertanya, dungu.
“Yelah, memang ada hikmahnya, kan? Dapat kahwin dengan
Sofiana, kan? Tak lama lagi pula nak dapat baby baru, kan?”
Amirah sudah memuncung semula. Geram!
Semakin berkerut dahi Hakim jadinya. Lama dia diam tanpa
sepatah kata. Wajah masam si isteri ditenung dengan persoalan di kepala. Cuba
mencari apa kaitannya dengan kata-kata Amirah tadi.
Setelah beberapa detik berfikir Hakim tersenyum lucu.
Lama kelamaan senyuman itu menjadi ketawa besar sehingga membingitkan telinga.
“Ketawa pula. Sukalah tu!” Gumam Amirah lagi.
“Sayang cemburu, ya?” Hidung comel isterinya secuit
sedikit. Wajah Amirah yang sedang berpaling darinya diintai sedikit. Mak ai!
Masamnya. Siap kembang-kempis hidung lagi. Marah benar ni.
Sayang..sayang. Hakim menggelengkan kepala. Ada-ada saja.
Tadi marah, kemudian syahdu dan memujuk rayu. Sekarang ni masam kembali. Pandai
betul Amirah menukar emosinya dalam sekejapan cuma. Bukan sahaja diri sendiri,
malah dengan suaminya juga dijebak sama. Dalam keadaan sedih yang teramat boleh
pula ketawa berdekah-dekah. Amirah! Terlalu istimewa seorang wanita dan isteri
bernama Amirah. Betapa bersyukur dia dikurniakan isteri seindah wanita yang
berada di hadapannya ini.
“Sayang..” Kedua belah bahu si isteri ditarik
menghadapnya. Wajah Amirah yang memuncung direnung sayang.
“If
it is what you have thinking about, what’s more I can say? Tapi apa yang abang nak cakap, semua ni memang ada
hikmah di sebaliknya. Look at you.”
Hakim mengangkat kedua belah tangan isterinya. “You are different from old you. Totally different, sayang.”
Amirah mengukirkan senyuman malu apabila berjaya
mencernakan kata-kata Hakim. Malu pula kerana tersalah sangka.
Ya! Hakim benar. Perpisahan ini telah mengajarnya untuk
membina kehidupannya semula. Selama ini dia selalu berfikir yang dia sendirian.
Tiada sesiapa menemani melainkan suami dan keluarga mentuanya. Tapi hari ini
dia telah membuktikan yang dia mampu berjaya atas kakinya sendiri.
“What
makes me so proud of you is something I had ever dream long time ago.”
Amirah mengangkat kening. Meminta Hakim menjelaskan
kata-katanya.
Telapak tangan Hakim singgah di pipi gebu si isteri dan
diusap manja. “Dulu sebelum perpisahan tu, abang selalu impikan sayang dan
abang sama-sama menerajui Faruk Group. Sayang tahu, kan? Sejak dari dulu lagi
sayang adalah tulang belakang abang?”
Amirah menganggukkan kepala. Memang pernah Hakim memberitahunya
tentang itu.
“Tapi masa tu abang tak nak memaksa. Abang faham dengan
keadaan sayang yang tak mahu terlibat dalam dunia korporat dan mahu menguruskan
rumahtangga sepenuh masa.” Hakim berjeda. Matanya tunak merenung ke dalam
bening indah di hadapannya. Terasa belakang tangannya diusap lembut. “But today, my dream comes true. You there.
You there for me and our company. I am really happy of knowing you always by my
side. Semua tu membuatkan abang lebih bersemangat untuk lebih berjaya.”
Terharu Amirah mendengarnya. Sampai begitu sekalikah
Hakim mengharap padanya?
“Tapi orang kata kalau suami isteri ni satu company tak
elok sangat. Pasti ada masalah akan timbul.” Ujar Amirah.
“Masalah tu akan datang dekat mana-mana pun, sayang. Pokok
pangkalnya sekarang adalah kepercayaan dan rasa kasih sayang yang kuat antara
kita. Pasti masalah tu akan dapat dielakkan. Kalau ada pun, kita pasti mampu
hadapinya dengan tenang.”
Amirah menganggukkan kepala. Menyetujui kata-kata
suaminya.
Dia mengangkat wajah. Berlaga pandang dengan suami yang
sedari tadi memandangnya. Telapak tangan itu pula masih setia bergayut di
pipinya. Hatinya berdebar kencang apabila menyedari wajah Hakim kian
menghampiri. Dia tahu apa yang bakal suaminya lakukan. Terus matanya dipejam
rapat. Menanti dengan redha segala apa yang bakal Hakim lakukan padanya.
“Aduhh!!”
Amirah pantas membukakan mata apabila terdengar Hakim
menyeringai sakit. Dia terpinga-pinga. Apa yang telah terjadi?
“Kenapa bang?”
Kelihatan Hakim sedang menggosok-gosok pahanya.
“Anak dara sayang, tulah!”
Terus Amirah mengalihkan pandangan pada anak yang sedang
berdiri di hadapan mereka dengan patung Barbie di tangan. Mata itu bulat
memandang mereka berdua. Entah bila Nasuha berada di situ pula? Bukankah tadi anaknya
bermain di lantai.
“Dipukulnya paha abang dengan patung Barbie tu!”
Ternganga Amirah mendengarnya. Hendak ketawa pun ada. Nasuha
dipandangnya lagi. “Sayang pukul abah, ya?”
Anak itu hanya tersengih. Mungkin menyedari kesalahan
diri.
Pantas Hakim menyambar tubuh kecil itu lalu digomolnya. “Suha
pukul abah, ya? Siaplah dia!” Digeletek tubuh montel itu, geram. Mengekek
ketawa Nasuha memecah keheningan malam.
Amirah hanya tersenyum melihat kedua beranak itu bergurau
senda. Hatinya mengucap syukur. Mereka masih lagi diberi peluang untuk merasai
bahagia setelah diuji dengan dugaan lalu. Dia tahu masa depannya mereka masih
panjang. Dugaan itu pasti datang lagi. Semoga mereka sekeluarga cekal
menghadapi dugaan mendatang.
Hakim menyandar di kepala katil sambil menanti isterinya
yang sedang menidurkan Nasuha di sudut bilik. Dia melihat jam dinding. Baru
pukul 9.30 minit malam. Namun, mereka sekeluarga sudah mahu bergelap. Dia
kembali merenung belakang tubuh Amirah. Suara merdu si isteri yang mengalunkan
zikir begitu mendamaikannya. Segala perlakuan si isteri tidak lepas dari
pandangan matanya.
Senyuman lebar terukir di bibirnya apabila Amirah mula
meninggalkan anak mereka di buaian. Mungkin sikecil itu telah lena dibuai
mimpi.
“Suha dah tidur?” Hakim bertanya. Suaranya cuba
direndahkan supaya tidak menganggu lena si kecil yang baru mengunjung tiba.
Kalau si kecil itu terjaga punahlah harapannya untuk bermanja dengan isteri
tercinta.
Kalau tidak kerana Nasuha tadi, tentu dia telah mendapat
ciuman isteri yang telah lama tidak dirasai. Akhir sekali adalah pada majlis
Dato’ Zakir. Itu pun dalam keadaan dia tidak sedar.
Reaksi Amirah dengan perbuatannya sebentar tadi
memberikan sinar pada dirinya. Mungkinkah Amirah telah bersedia untuk melangkah
lebih jauh dalam hubungan suami isteri ini. Kalau telahannya benar, betapa
bahagia dirinya dirasakan.
Jadi untuk memastikan telahannya itu, dia haruslah
memulakan langkah. Hendak diharapkan Amirah entah bilalah. Isterinya itu masih
lagi diselubungi perasaan malu yang menebal dengannya. Pasti Amirah tidak akan
bertindak menggodanya. Sebagai suami dia yang harus melakukan semua itu. Jika
tidak, sampai bila-bilalah hubungan mereka akan kekal begitu.
“Sini, sayang.” Hakim menepuk-nepuk tilam di sebelahnya. Meminta
Amirah menemaninya di katil. Setelah kejadian tempohari, dia dan Amirah tidak
lagi berpisah ranjang. Dia telah diberikan lampu hijau untuk tidur bersama
isteri di atas katil itu. Keputusan Amirah nyata mengembirakannya.
Sekurang-kurangnya hubungan mereka telah maju setapak. Dan sekarang dia sedang
cuba melangkah setapak lagi. Moga berjaya. Doanya di dalam hati.
Permintaan Hakim membuahkan debaran dalam hati Amirah.
Dia tahu permintaan kali ini adalah berbeza. Dari renungan suami dan perlakuan
di ruang tamu tadi dia tahu Hakim mengharapkan sesuatu. Bersediakah dia?
Persoalan itu berlegar-legar di kepala. Laju otaknya mencongak akan risiko yang
bakal dia ambil sekiranya dia hanya menurut permintaan si suami. Namun,
haruskah dia menolak keinginan di hati?
“Sayang?” Hakim memanggil lagi.
“Ya?”
“Sinilah.”
“Err..Mira..Mira nak tukar baju dulu.” Amirah memberikan
alasan. Sememangnya dia belum menukar pakaian lagi.
“Sayang?”
Terpaku langkah si isteri apabila sekali lagi namanya di
seru.
Hakim turun dari katil dan mendahului si isteri menuju ke
arah almari pakaian. Daun pintu almari ditolak. Dia berdiri di hadapan pelbagai
pakaian tidur isterinya. Dia tahu Amirah mempunyai banyak koleksi pakaian
tidur. Ada pijama dan ada juga gaun tidur yang bisa membuatkan dia menelan liur
walaupun dengan hanya membayangkannya. Sejak mereka bersama, belum pernah lagi
dia berpeluang melihat Amirah di dalam gaun tidur yang seksi.
Tangan Hakim giat memilih pakaian tidur yang dia mahu
Amirah pakai malam ini. Pakaian yang mampu menghangatkan lagi suasana romantik
antara mereka.
Dia mencapai sehelai gaun tidur bewarna merah terang yang
dirasakan sangat sesuai dengan kehendaknya itu.
Amirah menelan liur apabila gaun tidur yang sudah lama
tidak disentuh diserahkan kepadanya.
“Sayang pakai ni.”
Buntang mata Amirah dengan permintaan Hakim. Gaun ni?
Gaun yang seksi tak hingat ni? Sudahlah pendek paras paha, jarangnya Tuhan saja
yang tahu. Tak naklah! Malunya! Wajah Amirah sudah memerah.
“Gaun ni?” Tanya Amirah meminta kepastian.
Hakim menganggukkan kepala dengan senyuman manis. Menandakan
dia tidak main-main dengan permintaannya.
“Ta..tapi..” Amirah cuba membantah.
“Please..”
Meleret suara Hakim. Membuatkan Amirah serba-salah.
“Seksi sangat. Malulah.” Amirah masih mencuba
berkompromi. Manalah tahu Hakim menimbangkan perasaan segan dan malunya ini.
“Buat apa nak malu? Seksi depan suami bukannya dapat
dosa. Dapat pahala lagi. Pakailah. Don’t
worry abang takkan memaksa kalau sayang belum bersedia. Abang cuma teringin
nak tengok.” Hakim berdiplomasi.
‘Tapi kalau sayang sudi abang lagilah sudi,’ sambung
dalam hati. Dia tersenyum sendiri.
Amirah menggigit bibir. Masih keberatan untuk menunaikan
pemintaan si suami. Bukan dia tidak sudi. Malah, dirinya sudah bersedia. Cuma
perasaan segan itu masih lagi menyelubungi. Dia tidak pernah tampil seksi
begini di hadapan Hakim. Namun, bagaimana dapat dia luahkan semua itu?
“Pergilah sayang. Abang tunggu. Atau sayang nak abang
tolong tukarkan? Abang tak ada masalah.” Hakim sudah tersengih lebar. Sengaja mahu
mengusik si isteri.
“Ta..tak apa. Mira boleh pakai sendiri.” Balasnya sebelum
laju menghilangkan diri dalam kamar mandi. Bimbang sekiranya Hakim benar-benar
mengotakan kata-katanya tadi. Haru jadinya.
Hakim ketawa kecil. Gelagat Amirah benar-benar mencuit
hatinya. Dia membaringkan tubuh di katil sambil menunggu si isteri bertukar
pakaian. Dia sudah teruja. Bagaimanalah Amirah dalam gaun seksi itu? Ahh,
membayangkannya pun membuatkannya tidak tentu arah. Apatah lagi melihat dengan
mata sendiri. Pasti lebih mengujakan! ‘Cepatlah keluar, sayang.’ Bisik Hakim
dalam hati.
Langgan:
Catatan (Atom)