Ahad, 8 Januari 2017

Fatin Nabila 1

Kenapa semuanya gelap. Apa dah terjadi. Dia merasakan seperti ada batu besar yang tergantung di kelopak matanya. Terlalu berat untuk dibuka. Dia cuba pula untuk menggerakkan jari-jemarinya yang lemah. Beratnya... Perlahan-lahan dia mencuba lagi membuka mata sedikit demi sedikit.
Suasana serba putih menerobos masuk sebaik sahaja matanya terbuka. Dia kebingungan.
“Kat mana aku ni?” Bisiknya dalam hati. Diamati pula katil yang menjadi tempatnya beradu. Juga bercadar putih.
Setelah beberapa ketika dilanda kebingungan dia mulai sedar akan keberadaaannya. Apatah lagi apabila bau ubat-ubatan kuat menyapa deria baunya.
“Dia dah sedar la”.
Terdengar sayup-sayup di hujung telinganya suara orang bercakap. . Suara siapa pula tu? Dia tidak pernah mendengar suara itu sebelum ni. Dia lantas berpaling ke sebelah kanannya. Kelihatan empat mata sedang merenung wajahnya. Fatin semakin bingung. 
‘Siapa mereka ni? Dia langsung tidak mengenali wajah-wajah itu. Fikirnya.
Dan apa yang sebenarnya yang terjadi kepada dirinya? Bagaimana dia bisa berada di sini. Fikir gadis itu lagi.
Fatin dah sedar. Alhamdulillah...” Wanita itu tersenyum memandangnya sebelum berlaga pandang dengan lelaki yang berdiri di hujung katil. Lelaki itu juga sedang menghadiahkannya senyuman manis. Dalam perkiraannya kedua lelaki dan wanita itu adalah pasangan suami isteri. Mungkin usia mereka sudah separuh abad.
“Fatin, nama mak cik, Kamsiah. Dan ini suami mak cik, pak cik Musa.” Tanpa diminta wanita itu memperkenalkan dirinya.
“Macam mana saya boleh ada dekat sini? Dan macam mana mak cik tahu nama saya?” Soal Fatin sambil merenung tajam wajah mak cik Kamsiah.
“Mak cik dan pak cik yang bawa Fatin ke sini. Kami jumpa Fatin pengsan dekat jalan nak ke rumah mak cik.” Terang wanita itu dengan tenang.
Penjelasan wanita itu telah membuatkan Fatin terdiam sejenak. Cuba mengingati apa yang telah berlaku kepada dirinnya hari ini.
“Tapi macam mana mak cik boleh tahu nama saya?” Soal Fatin lagi kerana pertanyaan yang kedua tidak disambut oleh wanita itu tadi.  
Mak cik Kamsiah dilihat memandang suaminya sebelum menjawab pertanyaan Fatin. Ada riak rasa bersalah di situ. “Mak cik dapat tahu dari I/C Fatin. Mak cik minta maaf. Mak cik perlu daftarkan nama Fatin di hospital ni. Sebab tu mak cik selongkar beg Fatin. Sekali lagi mak cik minta maaf.”
Perlahan-lahan Fatin menganggukkan kepala. “Tak apa. Terima kasih sebab sudi bawa saya ke hospital.” Balas Fatin. Orang sudah berbudi dengan membawanya ke hospital takkanlah dia hendak marah pula. Dalam begnya pun bukan ada apa-apa yang berharga.
“Sama-sama.” Balas wanita itu sambil tersenyum manis.
“ Fatin rasa macam mana sekarang?” Tanya si suami pula.
“Alhamdulillah..” Jawab Fatin, lemah. Dia masih lagi berasa malu dan segan sebenarnya.
Dalam masa yang sama dia masih lagi memikirkan peristiwa yang telah membawanya ke sini. Seharian dia tidak makan dan hanya berjalan tanpa arah kerana mencari pekerjaan. Kawan yang berjanji akan menjemputnya di stesen bas tidak kunjung tiba. Berjam-jam dia tunggu di sana. Bila dia telefon asyik masuk peti pesanan suara sahaja. Rasa menyesal pun ada kerana mengambil keputusan melarikan diri. Tapi hendak berpatah balik tidak mungkin! Bahana yang bakal dia terima tidak mampu untuk dia tanggung.
“Mak cik tanya sikit, boleh?”
“Tanyalah mak cik.” Balas Fatin. Dia bangun dari pembaringan. Wanita itu membantu dengan membetulkan bantal agar Fatin lebih selesa dalam duduknya.
“Fatin nak ke mana sebenarnya? Dengan beg besar macam tu? Bukan apa. Kalau Fatin nak ke mana-mana mak cik dan pak cik boleh hantarkan? Atau Fatin nak telefon keluarga Fatin inform yang Fatin berada di hospital? Sebab mak cik tak dapat call keluarga Fatin. Mak cik tak dapat cari contact number mereka.”
Fatin tak dapat menahan kesedihan bila soalan itu diajukan kepadanya. Fatin betul-betul rindukan keluarganya. Sedari kecil Fatin tidak pernah berpisah dengan orang tuanya. Inikan pula Fatin terpaksa membawa diri tanpa mengenali sesiapa di tempat baru itu. Air mata Fatin laju mengalir di pipi.
“Kenapa ni Fatin? Mak cik tersalah cakap ke?” Perubahan Fatin yang secara tiba-tiba membuatkan wanita itu kelam-kabut. Lantas tubuh Fatin dipeluknya erat. Belakang tubuh gadis itu diusap lembut. Dia memandang si suami sambil mengangkat kening. Si suami membalas sambil menggelengkan kepala. Dia turut kehairanan.
Fatin membalas pelukan itu. Entah mengapa pelukan itu terasa hangat dan nyaman persis pelukan arwah ibunya. Fatin menangis sepuasnya seperti mahu melepaskan semua beban yang di tanggung selama ini. Sebelum ini tiada siapa yang mengambil peduli tentang lara di hatinya kecuali Mak Long dan anaknya kak Shila. Tapi sekarang kak Shila dah berumahtangga dan telah berpindah mengikut suaminya berpindah ke Johor.
Wanita itu hanya membiarkan Fatin melepaskan hiba di bahunya. Timbul perasaan sayang di dalam hatinya saat memeluk tubuh itu. Mungkin kerana dia sudah lama mengidamkan untuk memiliki anak perempuan. Namun, apakan daya sudah kehendak yang Maha Kuasa dia hanya dikurniakan dengan anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan suaminya.
“Fatin kalau Fatin ada masalah Fatin boleh beritahu mak cik. Kalau mak cik boleh tolong mak cik akan tolong.” Pujuk wanita itu setelah tangisan gadis itu reda.
Fatin mengesat air matanya. Dia menggelengkan kepala. Malu pula kerana menangis di bahu wanita itu. Basah baju wanita itu dengan air matanya.
“Saya okay. Saya minta maaf dah kotorkan baju mak cik.”
Wanita itu tersenyum. “Tak mengapa. Bukan kotor pun. Sekejap lagi keringlah ni.”
Fatin hanya tersenyum hambar dan kembali mendiamkan diri selepas itu. Wanita itu yang menantikan jawapan daripada Fatin serba salah mahu bertanya lagi.
“Fatinnn..?” Wanita itu mencari mata Fatin yang sedang menunduk. Bukan dia mahu memaksa. Tapi hatinya kuat mengatakan yang gadis ini berwajah polos ini memerlukan pertolongan daripadanya.
“Saya datang dari kampung mak cik.” Jawab Fatin dengan nada perlahan. “Saya lari dari kampung.”
Mengucap wanita itu mendengarnya. Begitu juga suaminya. Seakan tidak percaya yang gadis itu lari dari rumah. Fatin kelihatan seperti gadis yang naif.
“Habis tu sekarang Fatin nak tinggal di mana?” Tanya wanita itu lagi. Kalau ikutkan hatinya masih banyak yang mahu disoalnya. Dia mengetahui sebab Fatin mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Tapi dia harus bersabar. Dia tidak berhak mendesak gadis itu. Mereka pula baru sahaja berkenalan. Mungkin Fatin punya yang kukuh sehingga dia mengambil tindakan sedemikian.
“Saya tak tahu mak cik. Saya tak ada sesiapa di sini.” Jawab Fatin. Setitis air matanya gugur.
Sungguh dia menyesal dengan tindakannya. Dia tidak berfikir panjang. Kalaulah dia tahu yang dia akan menghadapi saat-saat begini pasti dia tidak akan melarikan diri. Dia ingat mudah untuk mendapatkan pekerjaan di bandar. Rupanya dengan bekelulusan STPM sepertinya agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Puas dia berjalan seharian, keluar masuk kedai dan pejabat. Tiada sesiapa mahu mengambil dia bekerja. Mungkin kerana penat dan sedih, dia jatuh pengsan di situ.
Wanita itu mengeluh perlahan. Dia bersimpati. Tidak sampai hati pula hendak meninggalkan gadis itu. Renungan redup dihadiahkan buat suami yang turut membalas pandangannya.
“Fatin tunggu di sini sekejap, ya?” Kata wanita itu. Dia mengisyaratkan sesuatu kepada suaminya.
Si suami yang mengerti menganggukkan kepala. Lalu, tidak lama selepas itu mereka keluar dari bilik yang menempatkan Fatin.

Datin Kamsiah tergessa-gesa menarik Datuk Musa keluar dari bilik yang menempatkan Fatin.
“Macam mana ni, abang?” Tanya Datin Kamsiah.
“Macam mana apa?” Datuk Musa bertanya pula. Tidak faham dengan apa yang cuba ditanya oleh isterinya.
“Ish abang ni. Pasal Fatin tulah. Kasihan pula Siah tengok dia.”
“Habis tu Siah nak buat apa?”
Datin Kamsiah berjeda sambil memandang wajah suaminya.
“Ermmm..apa kata kalau kita bawa dia balik ke rumah?” Lambat-lambat Datin Kamsiah menjawab sambil dengan wajah yang sengaja dicomelkan.
“What? Awak nak bawa dia balik ke rumah? Kita kenal dia pun tidak! Senang-senang saja awak nak bawa dia balik?”
Itulah yang paling dia tidak gemar akan isterinya. Mudah benar bersimpati dan percaya pada orang lain. Bukan dia mahu membantah cadangan si isteri. Tapi dia cuma mahu Datin Kamsiah lebih berhati-hati.
“Tapi dia tak ada tempat tinggal, abang. Kalau kita tak tolong siapa lagi yang nak tolong?”
“Budak tu lari dari rumah sayang, oii. Nampak sangat dia budak tak baik! Entah-entah lari ikut boyfriend!”
“Hish, abang ni. Suka sangat buruk sangka dekat orang. Tak baik tahu.” Tempelak Datin Kamsiah. Ini pula tabiat si suami yang dia tidak gemar.
Datuk Musa menggaru kepala. Sedar akan kekhilafan diri. “Habis tu macam mana ni?”
“Macam nilah. Buat sementara waktu kita bawa dia balik ke rumah. Lepas tu kita cuba tanya dia apa masalah dia. Kalau dia lari ikut boyfriend kita hantarlah dia balik.” Cadang Datin Kamsiah.
“Siah tengok dia macam budak baik. Sopan bertudung dan berbaju kurung masa kita jumpa dia. Abang tengok sendiri dalam beg dia, kan? Mana ada benda yang tak senonoh. Handphone pun entah zaman bila punya.” Hujah Datin Kamsiah lagi. Cuba menyokong cadangannya itu.
“Yelah-yelah awak menanglah. Tapi kalau jadi apa-apa jangan nak complaint pulak.” Datuk Musa akhirnya bersetuju dengan cadangan si isteri. Apa lagi yang boleh dilakukan jika Datin Kamsiah sudah beriya?
Datin Kamsiah sudah tersenyum senang. “Terima kasih, abang. Siah sayang abang.”
“Masa ni baru nak sayanglah, ya?”
“Eh, mana ada. Siah memang selalu sayang abang. Abang saja yang tak tahu.” Balas Datin Kamsiah tidak mahu kalah.
“Yelah tu. Macamlah abang tak tahu yang Siah tu dah jatuh sayang dengan budak tu. Sebab tu nak angkut si Fatin tu balik ke rumah, kan?”
Datin Kamsiah hanya tersengih.
“Macam tulah suami Siah. Faham apa yang Siah rasa.” Ujar Datin Kamsiah dengan nada mengada. Sempat pula dia mencuit pipi suaminya.
Datuk Musa hanya memandang gelagat isteri tanpa mengulas apa-apa. Faham sangat gelagat Datin Kamsiah yang kadang-kadang akan berubah pelik begini. Sesekali dia memandang sesekeliling jika ada sesiapa yang menyaksikan adegan itu. Mahu tutup muka keluar hospital nanti. Bisiknya di dalam hati. Malu! Tapi tidak dinafikan gelagat sebegitulah yang kadang-kadang menceriakan rumahtangga mereka. Dia sayangkan Datin Kamsiah lebih dari segalanya.


Datin Kamsiah dan Datuk Musa kembali masuk kedalam bilik Fatin sebaik sahaja mereka selesai berbincang. Sejuk mata mereka saat melihat Fatin dengan tudung di kepala. Mungkin gadis itu menyelongkar begnya semasa mereka keluar berbincang tadi.
“Fatin, mak cik dan pak cik dah berbincang. Fatin ikut kami balik, ya. Buat sementara waktu ni Fatin tinggal dengan kami dulu. Nanti bila Fatin rasa nak balik Fatin boleh balik.” Datin Kamsiah memberitahu cadangan dengan senyuman manis. Dia berharap benar yang gadis itu akan bersetuju.
Fatin menggeleng laju. “Tak nak! Saya tak nak balik. Tolong saya mak cik.” Kedua belah tangan Datin Kamsiah dipegangnya erat.
“Okay..okay! Kalau macam tu Fatin ikut mak cik dan pak cik balik, ya?” Pelawa Datin Kamsiah, pantas. Terkejut dia dengan reaksi Fatin sebentar tadi.
Untuk beberapa ketika Fatin hanya diam sambil berfikir. Dalam hati dia rasa terharu kerana masih ada insan yang sudi menolongnya di bandar besar ini. Sangkanya sudah lupus manusia sebegini. Masakan tidak, dari cerita orang kampung manusia di Kuala Lumpur ini tidak mengambil pusing akan hal orang lain. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
“Tapi saya tak nak menyusahkan mak cik dan pak cik. Saya tak nak nanti terhutang budi.” Luah Fatin. Dia sememangnya takut akan hal seperti itu. Pengalaman lalu sudah cukup buat dirinya. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Fatin jangan takut. Fatin tak menyusahkan sesiapa pun. Malah mak cik senang kalau Fatin sudi tinggal dengan kami. Kalau tak Fatin nak tinggal di mana? Kuala Lumpur ni bahaya Fatin tak sama macam di kampung. Tinggallah dengan mak cik buat sementara waktu ni. Tenangkan fikiran Fatin dulu. Bila Fatin dah bersedia nak bercerita mak cik sedia mendengarnya.” Kata Datin Kamsiah sambil memandang suaminya. Mengharapkan Datuk Musa menyokong kata-katanya itu dalam usaha memujuk Fatin.
Datin Kamsiah risau sekiranya membiarkan Fatin dengan tanpa arah tuju. Di bandaraya Kuala Lumpur ini macam-macam perkara yang tidak baik boleh terjadi. 
Sekali lagi Dato’ Musa mengangguk perlahan tanda setuju dengan pendapat Datin Kamsiah.
“Tapi...” Fatin berjeda. Dia masih menimbang baik buruk menerima pelawaan pasangan suami isteri itu. Mungkin mereka boleh menerimanya, tapi bagaimana dengan ahli keluarga yang lain? Bolehkah kehadiran gadis kampung sepertinya diterima?
“Fatin jangan risau. Dekat rumah tu bukan ada sesiapa. Tinggal kami berdua sahaja.” Terang Datin Kamsiah seperti faham yang bermain di fikiran Fatin.
Fatin jadi serba salah. Direnungnya muka orang asing di hadapannya mencari kepastian. Datin kamsiah sabar menunggu dengan penuh pengharapan. Akhirnya Fatin mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah...” Spontan kalimah suci itu keluar dari bibir Datin Kamsiah. Wanita itu tersenyum puas.
“Err..abang panggilkan doktor. Cakap pesakit dah sedar.” Beritahu Datuk Musa sambil melangkah keluar.





1 ulasan:

Hi kawan2..Selepas baca jangan lupa tinggalkan komen tau..wajib!!! hehee..sebabnya Ida suka baca komen kawan2..Nak tau jugak best ke tidak setiap post Ida ni..komen tau!!